PPMC Constitution

 PERLEMBAGAAN
PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA CORK (PPMC)

BAB I
PENGENALAN
1.1  Sejarah Ringkas
Nama persatuan ini ialah Persatuan Pelajar Malaysia Cork (PPMC). Nama asal persatuan ialah Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland Cork (PPIMIC). PPIMIC ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1998 di Cork.

1.2  Logo Persatuan
Logo Persatuan terdiri daripada 2 bulatan besar; satu bulatan di luar mengandungi nama penuh persatuan dan satu bulatan di dalam yang lebih kecil.

Di tengah bulatan kedua, terdapat 8 pasang bulatan kecil dan bulan sabit yang disusun secara bulatan melambangkan 8 orang yang membuat bulatan serta mengangkat dan berpegangan tangan. Ia menjadi simbolik kepada perpaduan yang menjadi prinsip utama persatuan. Warna hitam, kelabu dan putih yang digunakan untuk simbol ini menunjukkan ahli-ahli persatuan terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Warna biru melambangkan perpaduan dan keamanan manakala warna kuning pula ditafsirkan sebagai intelektualiti kerana persatuan ini menggabungkan para intelektual yang bakal menyumbang ke arah kemajuan negara.

Logo Persatuan Pelajar Malaysia Cork
BAB II
PERLEMBAGAAN
2.1  Nama
Nama penuh pertubuhan ini ialah "Persatuan Pelajar Malaysia Cork" ringkasnya "PPMC", dan di dalam perlembagaan ini disebut sebagai "Persatuan".

2.2  Alamat
Persatuan ini akan berpusat di Cork, Ireland.

2.3  Cogan Kata
Cogan kata Persatuan Pelajar Malaysia Cork ialah "Menjadi Insan Yang Memberi”

2.4  Tujuan-tujuan
2.4.1        Menyatukan pelajar-pelajar Malaysia di Cork tanpa mengira bangsa dan agama di bawah satu badan.
2.4.2        Untuk mengambil langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang wajar bagi membela dan menjaga kepentingan orang-orang Malaysia pada keseluruhannya.
2.4.3        Untuk mengambil langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang wajar bagi menimbulkan rasa perpaduan pelajar-pelajar Malaysia Cork.
2.4.4        Untuk menyediakan medium kepada para pelajar untuk terlibat dalam program-program yang bersifat kemasyarakatan.
2.4.5        Untuk melatih pelajar-pelajar dalam berorganisasi dan segala perkara yang berkaitan dengan pengurusan persatuan.
2.4.6        Untuk mengambil langkah-langkah lain yang tidak tersebut di atas bagi menguatkan Persatuan ini.

2.5  Keahlian
Keahlian PPMC ini akan terdiri daripada 2 golongan:

2.5.1        Ahli Biasa
Ahli Biasa terbuka kepada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Cork.
2.5.2 Ahli Bersekutu. 
Ahli Bersekutu terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang bukan berstatus pelajar yang menetap di Cork dan kawasan-kawasan yang berdekatan, mereka berhak mengundi tetapi tidak berhak menyandang jawatan.

2.6  Permohonan Menjadi Ahli
Semua permohonan menjadi ahli mestilah dibuat dengan mengisi borang keahlian. Jawatankuasa Kerja Persatuan berhak menolak sesuatu permohonan dengan mengemukakan alasan yang berpatutan dan munasabah.

2.7 Yuran Keahlian
Yuran tahunan untuk ahli adalah berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Agung Tahunan setiap tahun.

2.8 Penggantungan dan Perlucutan Keahlian
Jawatankuasa Kerja mempunyai kuasa untuk memberi amaran bagi menggantung atau melucutkan keanggotaan mana-mana ahli yang melanggar Perlembagaan Persatuan. Sekiranya Jawatankuasa Kerja mengambil keputusan ini, maka ahli yang berkenaan akan diberitahu tentang hal tersebut menyatakan sebab-sebabnya dan memberi peluang kepada ahli untuk mengemukakan kesnya, setelah mana keputusan Jawatankuasa Kerja adalah muktamad.

2.9 Berhenti daripada Menjadi Ahli
Seseorang ahli berhak berhenti daripada menjadi ahli dengan dengan menghantar surat kepada Setiausaha. 

2.10 Mesyuarat
Mesyuarat persatuan ini terdiri daripada:

2.10.1    Mesyuarat Jawatankuasa Kerja

2.10.2    Mesyuarat Agung Tahunan

2.10.3    Mesyuarat Agung Tergempar


2.10.1    Mesyuarat Jawatankuasa Kerja
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja mesti diadakan sekurang-kurangnya 2 bulan sekali. Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Presiden Persatuan atau salah seorang ahli Jawatankuasa Kerja yang dipersetujui.

2.10.2    Mesyuarat Agung Tahunan
Tarikh Mesyuarat Agung Tahunan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja mengikut kesesuaian dan keperluan. Mesyuarat mesti diadakan selewat-lewatnya empat bulan selepas ketibaan pelajar baru. Notis mesyuarat hendaklah disebarkan kepada ahli-ahli sekurang-kurangnya 3 hari sebelum mesyuarat diadakan.

2.10.3    Mesyuarat Agung Tergempar
Mesyuarat Agung Tergempar akan dipanggil oleh Setiausaha sekiranya berbangkit perkara-perkara berikut:

2.10.3.1          Dengan perintah dan arahan Jawatankuasa Kerja.
2.10.3.2          Dengan permintaan bertulis yang ditandatangani oleh sekurang-  kurangnya satu perempat daripada jumlah ahli biasa menyatakan tujuan-tujuan mereka. Mesyuarat mesti diadakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan permintaan ini.

2.10.4    Pengerusi dan Setiausaha Mesyuarat
Pengerusi dan Setiausaha Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar dipilih dalam Mesyuarat tersebut dari ahli-ahli biasa yang bukan Jawatankuasa Kerja.

2.10.5    Korum
Sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah ahli-ahli biasa perlu hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar. Sekiranya didapati kehadiran ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencapai korum tersebut dalam masa dua jam selepas masa yang ditetapkan, mesyuarat mesti ditangguhkan kepada yang dirasakan sesuai selewat-lewatnya dua minggu kemudian walaupun tidak cukup korum.

2.10.6    Undi
2.10.6.1          Tiap-tiap ahli biasa dan ahli bersekutu mempunyai satu undi. Dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja pengundian dibuat secara sulit.
2.10.6.2          Jawatankuasa Kerja berhak mengeluarkan senarai calon yang dirasakan sesuai bagi menyandang Jawatankuasa Kerja untuk sesi berikutnya dan boleh mengumumkan kepada semua ahli semasa Mesyuarat Agung. Ahli-ahli berhak mencalonkan nama lain dalam mesyuarat tersebut.
2.10.6.3          Jawatankuasa Kerja Persatuan yang baru adalah berdasarkan kepada keputusan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

2.10.7    Hak Ahli-ahli
Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan seperti yang termaktub dalam perlembagaan maka ahli-ahli biasa boleh mengadakannya dengan menurut syarat-syarat di atas.

2.11      Jawatankuasa Kerja
2.11.1    Jawatankuasa Kerja akan terdiri sekurang-kurangnya daripada Presiden, Timbalan Presiden (Ketua Helwa), Setiausaha, Bendahari, 2 Biro Kerohanian dan 2 orang ahli Jawatankuasa Kerja lain yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung.
2.11.2    Jawatankuasa Kerja bertanggungjawab bagi melaksanakan tujuan-tujuan persatuan dan mempunyai kuasa untuk membeli atau mendapatkan alat-alat perkakas dan barang-barang keperluan dan lain-lain yang difikirkan perlu untuk mencapai tujuan-tujuan ini.
2.11.3    Mesyuarat Jawatankuasa Kerja mesti dihadiri sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa Kerja. Sekiranya tidak cukup korum, mesyuarat tertangguh seminggu dari tarikh yang ditetapkan, ketika mana mesyuarat mesti dilangsungkan dengan syarat adanya 3 orang ahli termasuk samada Presiden atau Setiausaha.
2.11.4    Seseorang ahli Jawatankuasa Kerja yang tidak hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Kerja perlu menyatakan ketidakhadirannya kepada Presiden atau Setiausaha sebelum mesyuarat berlangsung. Jika seseorang ahli Jawatankuasa Kerja tidak hadir ke mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut dalam masa setahun, dia mesti menghantar surat tunjuk sebab  kepada Setiausaha.
2.11.5    Ahli Jawatankuasa Kerja yang keanggotaannya digantung dengan sendirinya terlucut daripada menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja.

2.12 Jawatankuasa Kecil
Jawatankuasa Kecil boleh dibentuk oleh Jawatankuasa Kerja yang difikirkan perlu bagi menjalankan tugas-tugasnya.

2.13 Bidang tugas Jawatankuasa Kerja
2.13.1  Presiden   
2.13.1.1           Bertanggungjawab di atas perjalanan Persatuan dan sebagai pemantau bidang tugas Jawatankuasa Kerja.
2.13.1.2           Berfungsi sebagai wakil perhubungan awam Persatuan dengan mana-mana individu atau pertubuhan lain.

2.13.2 Timbalan Presiden
Membantu Presiden dalam tugas-tugasnya dan memangku jawatan semasa ketiadaannya.

2.13.3 Ketua HELWA
2.13.3.1                   Sebagai ketua kepada semua ahli perempuan dan juga ketua
kepada ahli Jawatankuasa Kerja perempuan.
2.13.3.2                   Bertanggungjawab menganjurkan program-program di kalangan
ahli perempuan.
2.13.3 Setiausaha
Mentadbirkan Persatuan dan menjalankan lain-lain urusan yang diarahkan oleh Jawatankuasa Kerja.

2.13.4    Bendahari
2.13.4.1                      Menguruskan segala tugas-tugas pentadbiran kewangan Persatuan.
2.13.4.2                      Membentangkan kira-kira yang lengkap dalam setiap mesyuarat                      Jawatankuasa Kerja
2.13.4.3                      Menyediakan penyata kira-kira tahunan untuk dibentangkan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.

2.13.5    Biro Kerohanian
Bertanggungjawab menganjurkan program-program berunsur kerohanian khas kepada ahli beragama Islam.

2.15 Tanggungjawab Ahli
Tiap-tiap ahli biasa bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Kerja dalam melaksanakan tujuan-tujuan Persatuan serta mendukung Perlembagaan Persatuan.

2.16 Kewangan
2.16.1  Tahun kewangan Persatuan adalah dari tarikh terlantiknya Jawatankuasa Kerja dalam Mesyuarat Agung Tahunan hingga ke Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutnya.
2.16.2    Tiap-tiap cek Persatuan (jika ada) mestilah ditandatangani oleh Bendahari dan Presiden atau Setiausaha.

2.17 Pindaan Perlembagaan
Perlembagaan ini boleh dipinda hanya di dalam di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar. Notis-notis bagi segala pindaan mesti dihantar kepada Setiausaha sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat tersebut. Setiausaha akan mengedarkan cadangan tersebut kepada semua ahli biasa semasa mesyuarat diadakan. Hanya pindaan yang dapat sokongan sekurang-kurangnya 2/3 (dua pertiga) dari ahli-ahli biasa yang hadir dalam mesyuarat tersebut saja akan dibahaskan.


2.18 Hubungan Luar Persatuan
Persatuan berhak membuat sebarang hubungan dengan mana-mana pertubuhan dalam merealisasikan objektif  Persatuan. Keputusan ini mestilah diputuskan oleh ahli Jawatankuasa Kerja dengan majoriti dua per tiga.

2.19 Pertukaran Alamat
Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk memaklumkan kepada Setiausaha berkenaan pertukaran alamat. Jawatankuasa Kerja tidak bertanggungjawab sekiranya ahli tersebut tidak menerima notis, pengumuman atau sebarang maklumat dan sebagainya sekiranya ia tidak berbuat demikian.

2.20 Peraturan Pentadbiran
Jawatankuasa Kerja Mempunyai Kuasa untuk mengubah dan membuat sebarang peraturan pentadbiran dari semasa ke semasa untuk difikirkan perlu dan sesuai bagi perjalanan Persatuan mengikut Perlembagaan.

2.21 Kenyataan Akhbar
Segala kenyataan akhbar, radio dan televisyen, samada yang dibincangkan dalam mesyuarat atau berhubung dengan hal-hal umum hanya boleh dibuat bagi pihak Persatuan oleh Presiden atau seseorang yang ditugaskan oleh Jawatankuasa Kerja.

2.22 Pembubaran
2.22.1 Persatuan tidak boleh dibubarkan kecuali dengan keputusan yang dibuat oleh  sekurang-kurangnya 3/4 (tiga suku) dari bilangan ahli-ahli biasa.
2.22.2 Sekiranya berlaku pembubaran semua harta kepunyaan, alat-alat kelengkapan, wang ringgit dan milik Persatuan adalah disedekahkan kepada mana-mana organisasi kebajikan yang dipersetujui oleh ahli-ahli.


BAB III
PENUTUP

Semoga dengan terteranya perlembagaan, diharapkan ia dapat menjawab segala persoalan dan kemusykilan daripada semua pihak terhadap dasar penubuhan PPMC sebagai badan kebajikan utama kepada pelajar-pelajar mahupun bukan pelajar di Cork.