Virus hedonism


Hedonisme bukanlah sesuatu yang baharu pada masyarakat dunia dan bukanlah ia muncul pada abad ke-21. Idea Hedonisme telah mula bertapak di pemikiran manusia pada zaman Greek dan ia membawa fahaman bahawa keseronokon merupakan kepuasan tertinggi dalam diri seorang manusia. Dikatakan idea ini bermula dari Aristippus, anak murid kepada seorang tokoh falsafah Greek yang terkenal , Socrates.
Idea atau fahaman ini tidak terhenti di zaman itu malah diteruskan oleh tamadun lain seperti tamadun Mesir Purba. Salah sebuah lagu mereka bernama Harper’s Song pada zaman itu dikatakan mempunyai nilai hedonism kerana ianya mengajak manusia untuk menikmati keseronokan sepuas-puasnya di atas muka bumi kerana ganjaran yang akan mereka peroleh dalam kehidupan selepas mati merupakan sesuatu yang tidak pasti. 

Begitu juga di India di mana telah bertapak fahaman Carvaka yang juga mempunyai unsur Hedonisme. Fahaman ini menyatakan bahawa kitab Hindu adalah salah, paderi Hindu adalah penipu, juga mereka percaya bahawa tidak terdepat kehidupan selpas mati dan keseronokan sewajarnya menjadi tujuan hidup.

Biarpun ada yang cuba membawa konsep keseronokan dalam hedonisme dalam batas-batas tertentu, masyarakat kita pada hari ini lebih hampir dengan konsep Hedonisme yang dibawa oleh tamadun Mesir Purba dan India. Masyarakat pada hari ini telah dikaburi dengan keseronokan yang pelbagai  sehingga lupa tujuan dan makna hidup. 

Nilai-nilai murni yang sewajarnya diterjemahkan dalam kehidupan oleh setiap lapisan masyarakat dipandang asing pada hari ini. Sebagai contoh mudah, pada hari ini, anak-anak perempuan  dilepaskan oleh ibu bapa kepada jagaan teman lelaki mereka, dengan alasan bahawa mereka ini masih kecil dan hendak menimba pengalaman.Hatta, ada segelintir masyarakat yang menganggap jika anak mereka belum mengadakan hubungan seks sebelum kahwin, anak mereka dianggap tidak normal. Kita dapat membuat beberapa pandangan dalam tamsil ini. Yang pertama ialah, kesongsanganan pemikiran masyarakat kini, iaitu yang baik kini dianggap asing dan yang negatif dianggap suatu norma. Yang kedua ialah permasalahan pemikiran yang dapat diterjemahkan akibatnya dalam masyarakat. Dalam situasi ini, permasalahan pemikiran ibu bapa yang berpaksikan keseronokan hedonisme semata-mata mengakibatkan anak mereka turut terlibat dalam fahaman tersebut.

Hedonisme boleh dianggap sebagai virus yang menular dalam masyarakat. Golongan yang telah diselimuti fahaman Hedonisme ini akan alpa dalam kehidupan mereka. Apabila mereka menjadi ibu bapa, tidak berbekalkan ilmu nilai dan pendidikan akhlak, maka tidak lain yang diajar dan diwariskan kepada anak-anak mereka juga nilai berpaksikan fahaman hedonisme. Begitu juga apabila individu berkawan dan menjadikan insan berfahaman hedonisme sebagai teman rapat.Akibatnya, berlaku kesongsangan pemikiran dalam masyarakat kita. Nilai yang asalnya positif dianggap asing dan yang negatif dianggap norma.
Timbul persoalan siapa yang perlu dipersalahkan dalam fenomena ini? Adakah ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, sistem pendidikan, media,  atau diri sendiri? Jawapan yang sudah tentu iaitu ia merangkumi semua pihak. Persoalan kedua yang mungkin timbul ialah apa yang perlu dilaksanakan?

Semudah-mudah perkara yang boleh dilakukan ialah bertanya kepada diri kita semula, apa erti kita hidup di atas muka bumi (the purpose of life). Sebagai manusia, kita memerlukan hala tuju dalam setiap yang dilakukan (sense of direction). Dengan ini kita akan cuba mencari jawapan dan bagi yang memikirkan, sudah pastinya mereka akan menganggap keseronokan itu bukanlah tujuan tetapi hanyalah hiasan dalam kehidupan. Bagi yang mengejar harta, harta bukanlah segalanya namun hanya alat kehidupan sahaja. Bagi yang mengejar jawatan, jawatan itu tidak lain adalah amanah untuk membawa masyarakat di dunia hidup berpaksikan akhlak dan nilai-nilai murni. Sebagai Muslim, hadith yang sewajarnya dijadikan pedoman hidup kita ialah:
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
[H.R Bukhariy dan Muslim]

Sementara mereka yang hidup masih berteraskan akhlak dan moral yang baik masih berjalan di bumi ini, berkawanlah dengan mereka. Ambillah mereka sebagai sumber rujukan, dan peringatan serta contohilah teladan dari mereka. Tidak menolak kenyataan bahawa kita perlu berkawan dengan semua menurut kemampuan, tetapi kita perlu berhati-hati dalam memilih teman. RasululLah bersabda:

“Seseorang itu akan mengikuti cara hidup temannya, karenanya hendaklah salah seorang diantara kalian mencermati kepada siapa ia berteman.”
[Hadits hasan, riwayat Tirmidzi (no. 2387), Ahmad (no. 8212), dan Abu Dawud (no. 4833)]

Akhir sekali ialah dengan cara meninggalkan legasi yang baik untuk generasi seterusnya, legasi yang penuh dengan erti  dan nilai mulia untuk mereka jejaki. Ia boleh jadi dalam apa-apa rupa dan bentuk seperti buku, kata-kata bermanfaat, akhlak dan lain-lain. Legasi yang ditinggalkan ini akan memastikan keterusan golongan yang berakhlak terus subur di bumi ini. Legasi ini akan menjadi contoh teladan bahawa akhirnya yang pembentukan kepada satu tamadun hebat memerlukan kepada kayu ukur nilai-nilai positif dan bukan kepada nilai materialisme dan keseronokan melampau dalam fahaman hedonisme ini.

Saya mengajak diri dan sidang pembaca sekalian, marilah kita mulakan langkah kita memerangi fahaman hedonisme yang menular ini, bermula dengan bertanya semula kepada diri kita apa erti saya hidup di atas bumi ini. Bukanlah keseronokan itu sesuatu yang tidak boleh, namun ia perlu ditujukan kepada suatu yang baik iaitu untuk mendidik manusia. Jenis keseronokan yang kita lihat pada hari ini merosakkan pemikiran masyarakat, dan ia perlu diubah.

Mohammad Hijaz Adenan